KUCHING, 29 Jan: Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diterima baik rakyat Sarawak.
Rata-rata mereka yang ditemui TVS menyatakan bahawa Wan Junaidi merupakan seorang yang berjiwa rakyat dan sangat mudah untuk didekati.
Menurut Pemanca Tanjong Datu, Ibrahim Suni, Wan Junaidi banyak mengambil berat perihal rakyat di kawasan beliau ketika menjadi wakil rakyat di Parlimen Santubong, malah beliau kerap melawat kawasan serta mengikut rapat perkembangan pembangunan di kawasan tersebut.
“Saya tahu dia berpengalaman luas, yang kita tahu dia menjadi wakil raketa di Parlimen Santubong semenjak 2004 sehingga 2022.
“Jadi semenjak itulah, beliau kerap kali pergi ke kawasan dan berjumpa dengan kami dan kita selalu dibawa mesyuarat untuk membuat keputusan hal dasar-dasar kerajaan,” katanya.
Senada dengan Ibrahim, Penghulu Tanjung Datu, Maxwell Ujis berkata, usaha yang dijalankan oleh beliau adalah menyeluruh tanpa mengira latar belakang rakyat.
Katanya, pelantikan Wan Junaidi amatlah diharapkan kerana telah menjalan kerja dengan baik dan ikhlas yang dilakukan sebelum ini.
“Semoga beliau boleh memajukan negeri, kaum dan semuanya. Kami sangat menyokong supaya kami kaum Iban, bukan hanya kaum Iban sahaja, tetapi semua kaum Dayak dan kaum yang lain juga, supaya kita semua terus maju di bawah pimpinan beliau,” ujarnya.
Sementara itu, Pemanca Tanjong Datu, Chin Kian Ming dan Penghulu Demak Laut Ali Matsah mengucapkan tahniah di atas pelantikan Wan Junaidi sebagai TYT yang baharu.
Kian Ming berharap dengan pelantikan Wan Junaidi ini akan terus menjadikan Sarawak maju di masa akan datang.
“Setahu saya beliau sudah lama menjadi Ahli Parlimen Santubong di daerah Lundu dan pernah menjadi Timbalan Menteri di Persekutuan. Selama dia menjadi ahli parlimen, setahu saya dia tidak pernah mengabaikan komuniti Cina di Lundu dari segi sosial, pendidikan, pembangunan dan sebagainya.
“Contoh saya boleh bagi semasa Tun Dr Wan Junaidi menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri dalam negeri beliau pernah membantu tiga orang budak yang tiada kewarganegaraan disebabkan masalah isu perkahwinan ibu bapa mereka,” katanya.
Ali Matsah juga berharap agar hubungan di antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan terjalin dengan baik.
“Saya amat berbesar hati di atas pelantikan beliau kerana beliau adalah seorang pemimpin yang berkaliber, pengetahuannya amat luas tidak kira dari segi politik ataupun dari segi pentadbiran, sebab beliau ini dengan masyarakat kawasan sebelum ini memang amat baik.
“Beliau adalah seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas komuniti-komuniti ataupun rakyat,” ujarnya.
Istiadat Angkat Sumpah Yang di-Pertua Negeri berlangsung pada petang ini.
Wan Junaidi menerima Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 26 Januari lepas. – TVS