BINTANGOR, 29 Jan: Daerah Meradong bakal berubah wajah melalui usaha bersepadu kerajaan melaksanakan tiga lagi projek baharu di kawasan itu pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, ketiga-tiga projek itu ialah naik taraf tebingan Sungai Bintangor, naik taraf Taman Rekreasi Bintangor dan pembinaan Pasar Sentral dua tingkat yang baharu
Menurutnya, kesemua projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang keseluruhannya bernilai RM57 juta itu merupakan salah satu lagi bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan Meradong tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Projek pertama ialah menaiktaraf tebingan Sungai Bintangor dengan nilai kos projek RM35 juta, kedua naik taraf taman rekreasi Bintangor (RM4 juta) dan ketiga pasar sentral dua tingkat Bintangor yang baharu bernilai RM18 juta.
“Sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya sangat gembira dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Premier,” katanya ketika menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), di sini, malam tadi.
Beliau berkata, projek itu bukan hanya menjadi tarikan baharu pengunjung tetapi keseluruhannya bakal mengubah landskap pembangunan Meradong.
Sambil berharap pelaksanaannya berjalan lancar, Kuong Hiing turut menzahirkan terima kasih kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas inisiatif yang dilaksanakan.
“Hasil usaha gigih Kerajaan Sarawak, wajah daerah Meradong kini sudah mula berubah. Saya menggesa semua pihak memberikan kerjasama agar pelaksanaan projek-projek ini berjalan lancar dan sempurna,” tambahnya.
Terdahulu beliau turut menyempurnakan agihan limau mandarin kepada pelbagai agensi di Bintangor. – TVS