MIRI, 29 Jan: Satu mayat perempuan ditemukan di tebing sungai di Jalan Krokop 10, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata wanita warga asing berumur dalam lingkungan umur 34 tahun dijumpai lengkap berpakaian.
Menurutnya, polis menerima laporan mengenai penemuan tersebut daripada orang awam pada 9:03 pagi.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Pusat Miri telah pergi ke tempat kejadian di kawasan tempat kapal berlabuh.
“Pegawai perubatan dari Hospital Umum Miri telah mengesahkan kematian. Pemeriksaan atas badan si mati dan tempat kejadian didapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah,” katanya menerusi kenyataan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Miri untuk bedah siasat bagi mengenal punca kematiannya dan satu Kertas Siasatan Mati Mengejut (SDR) telah dibuka bagi mengenal pasti punca kematian.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana akan menganggu siasatan dan individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk menyalurkan maklumat. -TVS