MIRI, 28 Jan: Golongan usahawan merupakan komponen penting dalam memacu kemakmuran dan membantu mempercepatkan pembangunan ekonomi di negeri ini.
Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, penglibatan mereka di dalam pelbagai sektor membuka peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan ekonomi di kawasan tersebut.
“Usahawan-usahawan juga merupakan komponen penting yang ada dalam negeri ini dalam memacu kemakmuran negeri ini. Kita akui usaha-usaha perniagaan yang ada termasuk dari ahli-ahli DUBS Cawangan Miri membantu mempercepatkan pembangunan ekonomi di negeri ini,
“Penglibatan ahli-ahli dalam sektor pembuatan, makanan seperti restoren, minyak dan gas serta perkhidmatan seperti klinik membuka peluang-peluang pekerjaan dan menjadikan dinamika ekonomi Miri,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Tengah Hari Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri hari ini.
Pelbagai inisiatif yang disediakan di bawah kementerian beliau seperti pelaksanaan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) iaitu skim pinjaman mudah sehingga RM250,000, geran peralatan sehingga RM10,000 di bawah Program Go Digital dan dana tambahan Bizfund sebanyak RM20 juta kepada dewan dan persatuan.
Beliau yang juga penasihat DUBS Cawangan Miri menambah inisiatif ini dilakukan bagi meningkatkan pembangunan kapasiti ahli-ahlinya dan memastikan kelangsungan ekosistem usahawan di Sarawak.
Ripin berharap bantuan yang diberikan kepada persatuan dan dewan perniagaan mampu menjana pendapatan seterusnya merangka pelbagai aktiviti bagi memperkasa ahli-ahli di peringkat cawangan masing-masing.
Dalam pada itu, katanya, DUBS Miri berhasrat menubuhkan sebuah koperasi baharu yang akan dinamakan Koperasi DUBS (KODUBS) Miri akan datang.
“Penubuhan koperasi ini sebagai sebuah perniagaan memastikan perniagaan usahawan dapat dimulakan dengan mudah.Saya juga difahamkan bahawa DUBS cawangan ini juga berhasrat untuk mewujudkan sebuah koperasi. Koperasi yang akan dinamakan Koperasi DUBS Miri atau singkatannya KODUBS Miri. Perniagaan koperasi sebenarnya merupakan satu jenis perniagaan yang jika dilihat hasrat penubuhannya adalah sangat baik,
“Sekumpulan usahawan meletakkan modal secara bersama bagi memastikan perniagaan dapat dimulakan dengan mudah yang diketuai oleh satu kumpulan ahli lembaga pengarah koperasi,” katanya.
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) memberi sokongan terhadapan penubuhan KODUBS Miri dengan memberikan bantuan dan geran pembangunan.
Majlis menyaksikan simbolik penyerahan dua jentera iaitu Excavator dan Backhoe yang telah diberikan oleh DUBS Holdings Sdn Bhd kepada DUBS Miri untuk diuruskan oleh barisan AJK DUBS cawangan ini melalui KODUBS. -TVS