KUCHING, 28 Jan: Sumbangan berupa kelengkapan peralatan persekolahan seperti beg, alat tulis, sepasang baju, stokin dan kasut sekolah yang dihulurkan oleh Rotary Club Malaysia dan Sime Darby dilihat mampu membantu meringankan beban ibu bapa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seramai 81 pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Salak dan banyak lagi di sekolah-sekolah lain di Parlimen Santubong menerima manfaat daripada program berkenaan.
“Ini (SK Salak) sekolah yang keenam. Kita dah adakan Program Back To School di 21 buah sekolah di seluruh P.193 Santubong.
“Kalau harap kami sahaja agak lambat tapi kita bersyukur kerana ada yang sanggup untuk menyumbang kepada para pelajar apatah lagi pelajar di kawasan seperti SK Salak ini amat mencabar untuk mereka semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Back to School P.193 Santubong di Dewan As-Sakinah SK Salak di sini, hari ini.
Program tahunan ini bertujuan mendekati masyarakat dari golongan B40 dan luar bandar bagi membantu meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti serta inklusif kepada semua pelajar di seluruh Malaysia.
Nancy dalam pada itu turut memaklumkan projek naik taraf kemudahan akses pembinaan jalan raya ke Kampung Pulau Salak juga telah diluluskan.
“Projek Naik Taraf tersebut di bawah Projek Transformasi Luar Bandar dan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM400,000,” ujarnya. -TVS