MIRI, 28 Jan: PERKESO Sarawak berkolaborasi dengan PETRONAS untuk menyediakan platform bagi memudahcara keperluan tenaga kerja industri dan bakat-bakat tempatan yang ingin menceburkan diri di dalam sektor minyak dan gas.
Menurut Kaunselor Majlis Bandaraya Miri (MBM), Kueh Chie Tiong, ini akan memenuhi keperluan sektor tersebut di mana permintaan tenaga kerja yang berkelayakan terus meningkat.
“Permintaan tenaga kerja yang berkelayakan terus meningkat dan akan menjadi semakin mencabar bagi pemain-pemain industri selain keperluan daripada industri lain-lain.
“Saya berharap semua yang akan ditemuduga pada hari ini dan esok akan menunjukkan bakat dan kemahiran masing-masing, tingkatkan kemahiran untuk menampung keperluan zaman yang semakin berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin semasa Temuduga Terbuka Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Kolej Komuniti Miri, semalam.
Karnival ini diadakan untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan dan lepasan graduan menceburi pekerjaan dalam bidang minyak dan gas.
Ini bagi menyokong hasrat kerajaan negeri meningkatkan penglibatan bakat tempatan bagi mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Karnival ini berlangsung selama dua hari mulai semalam hingga hari ini bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang dengan sambutan seramai 477 calon temuduga menghadiri sesi temuduga. -TVS