LANGKAWI, 28 Jan: Pembangunan setiap negara hendaklah menitikberatkan dan memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru itu, di Sarawak katanya, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjadi asas kepada usaha menaik taraf kehidupan masyarakat Bumi Kenyalang dan bukan hanya semata-mata berfokus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ekonomi kita perlu memberi manfaat kepada golongan miskin, sistem penjagaan kesihatan mesti memberi kelebihan kepada kumpulan sasar, bantuan kebajikan mesti disalurkan dan pendidikan harus diberikan, maka ini akan memberi pengaruh kepada penaiktarafan standard kehidupan.
“Anda boleh menjadi negara dengan nilai KDNK yang tinggi, 20 hingga 30 peratus tetapi rakyat pula tidak mendapat manfaat daripadanya. Jadi hendaklah ada perubahan dalam mengukur kekayaan kita, kerana sememangnya ada perubahan sebenar untuk mentadbir negara iaitu ke arah kelestarian alam sekitar,” katanya ketika berucap pada Forum Kepimpinan 2024 di sini, hari ini.
Sementara mengenai Forum Kepimpinan 2024 itu, sidang tersebut berjaya menghimpunkan sekitar 140 pemimpin-pemimpin dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dari Sarawak untuk berbincang mengenai hala tuju negeri ke arah pembangunan ekonomi mampan.
Abang Johari menegaskan setiap GLC di Sarawak hendaklah bekerja sebagai satu pasukan dalam merealisasikan wawasan negeri selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030. – TVS