KUCHING, 28 Jan: Banjir kilat yang melanda beberapa tempat di bandaraya Kuching selepas mengalami hujan lebat pagi tadi mulai surut.
Tinjauan TVS di kawasan Matang yang melibatkan Metrocity dan Matang Jaya sekitar jam 1 tengah hari tadi mendapati banjir kilat di kawasan tersebut sudah surut dan perjalanan trafik dilihat bergerak dengan lancar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khiruddin Drahman berkata, susulan banjir kilat tersebut semua agensi keselamatan dan kecemasan telah digerakkan di lokasi banjir yang lain.
“Masing-masing mempunyai sektor untuk dipantau. Setakat ini, belum ada lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, namun pihak bomba sentiasa memantau untuk bantuan jika diperlukan.
“Taburan hujan yang direkodkan melebihi 200 milimeter pagi ini menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah dan mudah air berkumpul,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dalam pada itu, banjir yang melanda kediaman penduduk mulai jam 8 pagi menyebabkan ramai kelam-kabut memindahkan kenderaan di beberapa kawasan menerusi hantaran netizen di media sosial. – TVS