BAU, 27 Jan: Isu kelewatan kelulusan Permit Menduduki (OP) untuk bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan tiada kaitan dengan politik.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep yang menyangkal tomahan kelewatan tersebut mempunyai hubung kait dengan politik.
Jelasnya, kelewatan pemberian OP itu adalah disebabkan oleh masalah teknikal yang tidak menepati piawaian Majlis Daerah Bau dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM).
“Perkara ini tidak perlu dibawa ke peringkat Parlimen kerana isu tersebut terjadi berpunca daripada pihak profesional yang tidak melakukan usaha wajar mereka,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pecah Tanah Jalan Kampung Tanjong Poting di Dewan Kampung Tanjong Poting di Bau hari ini.
Untuk rekod, Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan yang diganti baharu bakal beroperasi pada awal tahun ini apabila projek pembinaannya telah siap sepenuhnya.
Pembinaan gantian penuh 18 bilik darjah dan enam unit rumah guru serta lain-lain kemudahan di sekolah yang membabitkan kos projek sebanyak RM24.6 juta itu dilaksana sejak 8 April 2021.
Difahamkan, projek yang siap pada 22 Mei 2023 itu kemudiannya mendapat kelulusan Permit Menduduki (OP) di lot 553, blok 6, Jagoi Land District oleh pihak Majlis Daerah Bau (MDB) pada penghujung tahun lepas. -TVS