LANGKAWI, 27 Jan: Forum Kepimpinan 2024 membabitkan sekitar 200 peserta daripada beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Sarawak memperkukuh misi Sarawak ke arah pembangunan mampan menerusi perbincangan bersama panel jemputan.
Tirai forum yang berlangsung dari 26 hingga 29 Januari itu dibuka dengan pembentangan mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 oleh Penasihat di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.
Hari pertama forum itu yang diadakan di The Ritz-Carlton di sini, turut menyaksikan perkongsian Pakar Ekonomi Kanan di Pejabat Penyelaras Residen United Nation untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Richard Marshall yang membentangkan mengenai Kemajuan dan Prospek Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk Malaysia dan Sarawak.
Selain itu, Rakan Kongsi Kanan merangkap Ketua Bersama Kelestarian dan Tindakan Iklim, Global dan Roland Berger, David Frans yang menjelaskan mengenai Kepimpinan Tindakan Kemampanan dan Iklim diikuti pembentangan mengenai ‘Ekonomi Boleh Diperbaharui dan Pekeliling’ oleh Rakan Kongsi Roland Berger, Dieter Billen.

Sepanjang sesi pembentangan, ruang untuk soal dan jawab turut dibuka kepada peserta sekali gus bertukar-tukar pandangan antara panel dan peserta.
Forum berkenaan dianjurkan Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dengan kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan forum pada Ahad.
Turut hadir pada sesi forum hari ini ialah dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo dan dif-dif kenamaan lain. – TVS