KUCHING, 27 Jan: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menyediakan sebanyak 234 tapak jualan Bazar Ramadan di kawasan Satok, Semarak dan Sukma Ria sempena bulan Ramadan tahun ini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, setiap permohonan bagi permohonan adalah berdasaran ‘First Come, First Served’ dan kadar bayarannya dari RM300 hingga RM500 mengikut kategori jualan dan lokasi tapak jualan Bazar Ramadan.
“94 petak disediakan di Bazar Ramadan Satok melibatkan kategori minuman (18 petak) berjumlah RM450, makanan (72 petak) berjumlah RM450 dan panggang (4 petak) dengan kadar bayaran RM500.
“24 petak akan disediakan di Bazar Ramadan Semarak melibatkan kategori minuman (4 petak) iaitu RM300, makanan (12 petak) berjumlah RM300 manakala panggang (8 petak) berjumlah RM400.
“Manakala Bazar Ramadan Sukma Ria menawarkan 116 petak melibatkan kategori minuman (20 petak) berjumlah RM400, makanan (88 petak) berjumlah RM400 dan panggang (8 petak) berjumlah RM450,” menurut siaran media itu.
Permohonan petak jualan sempena Bazar Ramadan akan mula dibuka pada 7 Februari 2024 (Rabu) mulai jam 9 pagi hingga 5 petang dan permohonan boleh dibuat secara atas talian menerusi pautan di laman sesawang DBKU iaitu dbku.sarawak.gov.my.
“Pemohon dikehendaki untuk memuatnaik dokumen lengkap iaitu gambar berukuran pasport bagi pemohon dan pembantu gerai atau pekerja serta salinan kad pengenalan pemohon dan pembantu gerai atau pekerja serta salinan Sijil Kursus Pengendali Makanan pemohon dan pembantu gerai atau pekerja.
“Selain itu, pemohon juga perlu memuatnaik salinan Laporan Pemeriksaan Kesihatan beserta suntikan typhoid pemohon dan pembantu gerai atau pekerja, atau salinan Kad Pengendali Makanan DBKU,” katanya lagi.
Tambahnya, setiap permohonan yang dihantar akan ditapis dan permohonan yang tidak lengkap tidak akan dilayan.
Hanya permohonan yang berjaya sahaja akan dihubungi oleh pihak DBKU melalui telefon di talian atau e-mel untuk membuat pembayaran dan hadir ke sesi taklimat serta cabutan nombor petak pada 2 Mac 2024 di Auditorium DBKU. – TVS