DOHA, 26 Jan: Skuad Harimau Malaya menampilkan belangnya dan hampir menumbangkan juara dua kali Korea Selatan sebelum mencatat keputusan seri 3-3 pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini, malam tadi.
Pemain tengah Jeong Woo-yeong membuka tirai jaringan di separuh masa pertama sebelum Malaysia bangkit mendahului perlawanan selepas 17 minit separuh masa kedua bersambung menerusi gol Mohamad Faisal Abdul Halim dan penalti Arif Aiman Mohd Hanapi.
Namun, Korea Selatan menyamakan kedudukan ketika berbaki 10 minit masa permainan sebenar hasil gol sendiri penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sebelum mendahului 3-2 menerusi penalti pemain bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min pada masa tambahan.
Pemain gantian yang juga pemain naturalisasi Romel Morales muncul wira apabila menyumbat gol ketiga pasukan negara pada masa tambahan yang memasuki 15 minit untuk menghadiahkan satu mata kepada Malaysia pada kempen kali ini.
Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan kekal di posisi kedua Kumpulan E dengan mengumpul lima mata sementara Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa satu mata dan boleh berbangga dengan tiga gol yang dihasilkan menentang antara pasukan gergasi Asia itu.
Juara kumpulan menjadi milik Bahrain yang menewaskan Jordan 1-0 untuk mengumpul enam mata, namun kekalahan itu tidak menghalang Jordan yang mengumpul empat mata untuk tetap layak sebagai antara empat pasukan di kedudukan ketiga terbaik.
Pada perlawanan itu, Korea Selatan memberi amaran awal apabila Son, kapten pasukan membuat larian deras ke dalam kotak penalti dan menggelecek dua pemain sebelum melepaskan rembatan kencang, namun berjaya dikeluarkan Ahmad Syihan ada minit ke-15.
Skuad bimbingan Jurgen Klinsmann akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-22 selepas Jeong Woo-yeong menanduk masuk sepakan penjuru yang terdahulu seakan diselamatkan Ahmad Syihan, namun bola telah pun melintasi garisan gol di penjuru kanan gawang sebelum disahkan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Malaysia yang tewas dalam dua aksi sebelum ini bermula baik di separuh masa kedua dan hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Faisal susulan kegagalan Arif Aiman menyudahkan peluang selepas tekanan yang dibuat Darren Lok di kawan kubu pertahanan lawan.
Suasana di stadium menjadi ‘kecoh’ apabila VAR memutuskan untuk memberikan penalti kepada Malaysia selepas Arif Aiman dijatuhkan Seol Young-woo sebelum pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 22 tahun itu tenang meledak jaringan yang gagal diselamatkan Jo Hyeon-woo pada minit ke-62.
Di sebalik serangan bertali arus dilancarkan dengan penguasaan bola 86-14 peratus berpihak Korea Selatan, mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan selepas Ahmad Syihan tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menyelamatkan sepakan percuma cantik Lee Kang-in pada minit ke-83.
Masa tambahan yang berpanjangan sehingga 15 minit menyaksikan dua lagi gol terhasil apabila Son menyempurnakan penalti selepas Oh Hyeon-Gyu dijatuhkan pemain pertahanan Junior Eldstal, sebelum Morales yang dimasukkan sebagai pemain gantian muncul pemusnah hasrat Korea Selatan mengutip tiga mata di penghujung permainan.
Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait dengan bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989. – TVS