Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi. Foto Bernama

Mengenali individu hebat, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

ORANGNYA tegas, mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas, berpendidikan tinggi dan mesra rakyat, itulah antara ciri-ciri yang dimiliki Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang baharu dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak berkuat kuasa hari ini.

Bekas ahli politik berpengalaman luas yang dilahirkan di Sadong Jaya pada 1 Februari 1946 itu, menyandang jawatan berkenaan selepas Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Berumur 78 tahun, jawatan terakhir Wan Junaidi sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ialah Yang di-Pertua Dewan Negara.

Beliau hari ini menerima surat cara pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Bernama

Menyingkap sedikit perjalanan karier politiknya, Wan Junaidi merupakan Ahli Parlimen Batang Lupar mulai 1990 hingga 2004 sebelum bertukar ke kawasan Parlimen Santubong sehingga bersara pada tahun 2022.

Wan Junaidi merupakan Ahli Parlimen di dua kawasan ini selama 32 tahun susulan kemenangannya selama tujuh kali Pilihan Raya Umum.

Keramahannya dengan penduduk yang diwakilinya di dua kawasan Parlimen tersebut tidak dapat dipertikai, justeru tidak mustahil baginya memenangi hati rakyat hingga menang dalam semua pilihan raya disertainya.

Menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau pernah dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti terbabit.

Beliau merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat mulai 28 April 2008 hingga 3 April 2013.

Dalam Kabinet Persekutuan, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting bermula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 16 Mei 2013 hingga 29 Julai 2015.

Beliau kemudian diberi kepercayaan mengemudi salah satu portfolio dalam Kabinet Persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.

Sebagai menteri, beliau bertanggungjawab membantu kejayaan rundingan Instrumen Alam Sekitar Antarabangsa, Paris Agreement 2015. Beliau juga berjaya mendapatkan tandatangan negara-negara Asia Tenggara untuk road map “Agreement of ASEAN Free of Haze 2020”.

Dalam tempoh itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi “Committee of Mega-Biodiversity Countries at the Convention on International Trade in Endangered Species (CITES)” di Afrika Selatan dan membentangkan kertas kerja kepada Jawatankuasa CITES.

Pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Ketika menjawat jawatan itu, beliau bertanggungjawab menubuhkan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia.

Beliau kemudiannya diberi kepercayaan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mulai 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.

Berkongsi pencapaian ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab dalam proses meminda tiga Perlembagaan Persekutuan iaitu pelaksanaan Akta Lompat Parti, pendaftaran automatik mengundi kepada 18 tahun dan memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 ke dalam perlembagaan.

Menyingkap awal kariernya, Wan Junaidi merupakan pegawai polis. Beliau menyertai pasukan polis pada 1964.

Beliau mula berkhidmat dari 1965 hingga 1968 dalam pelbagai cawangan Pasukan Polis sehinggalah beliau menjadi pegawai kepada Pesuruhjaya Polis, Sarawak.

Besar jasa dan pengorbanannya kepada negara, terutama menggadai nyawa memerangi komunis di dalam hutan di Miri, Sibu, Sarikei, Bintangor, Muara Tebas dan Kapit.

Dari tahun 1974 hingga 1977, Wan Junaidi menyambung pengajian Tingkatan Lima dan Enam dan Stamford College, Singapura.

Pada Disember 1978 beliau ke England untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Buckingham dan memperolehi ijazah sarjana muda undang-undang pada 1981.

Beliau meneruskan pengajian di Majlis Pendidikan Undang-undang, London pada Mei 1981 untuk Ijazah Peguam Utter.

Selepas enam bulan menjawat jawatan Ketua Pegawai Pendakwa Polis Sarawak, pada Disember 1982, beliau memulakan karier baharunya sebagai peguam.

Secara ringkas, Wan Junaidi memiliki perjalanan karier yang penuh warna-warni dan menarik.

Menyingkap hubungannya dengan masyarakat, ketika lapang, beliau tanpa rasa kekok untuk menikmati makanan dan minuman di kedai kopi Yong Hua di Satok, Kuching. Ini sering dikongsikannya menerusi media sosialnya.

Duduk dengan rakan-rakan semeja di kedai kopi biasa, sambil bersembang tentang apa jua perkara dan bertanya khabar, menunjukkan beliau seorang yang tinggi budi pekerti dan sentiasa menghormati masyarakat sekeliling.

Antara jawatan yang persatuan pernah disandangnya ialah naib presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Sarawak, presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Sarawak, pengerusi Majlis Pengakap Tempatan Kuching,  Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Sarawak dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak.

Perkahwinannya dengan Allahyarhamah Datuk Seri Feona Sim dikurniakan dengan tiga anak perempuan, Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima dan Sharifah Nuril Barieyah. Datuk Seri Feona meninggal dunia pada 28 April 2022.

Wan Junaidi kemudian berkahwin dengan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi pada 10 Disember 2022.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan