KUCHING, 26 Jan: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali atau lebih terkenal dengan panggilan Jojo menegaskan tidak berminat untuk menerima mana-mana cabaran daripada individu yang tidak dikenali untuk berlawan dengan dirinya.
Atlet berusia 18 tahun itu menyifatkan pelawaan daripada sesetengah pihak hanya mencari publisiti murahan dengan mereka ingin dikenali dengan pantas di media sosial.
Jojo berkata, pendirian itu juga dibuat susulan rasa hormat terhadap atlet lain yang lebih layak setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam tempoh yang lama.
“Kalau nak lawan itu tiada masalah, tetapi bagi saya ia diibaratkan seperti bersikap kurang ajar kepada ‘fighter’ yang betul-betul berlatih bersungguh-sungguh dalam sukan ini untuk mendapatkan publisiti.
“Saya tidak mahu mereka (pencabar) yang hasilkan video semata-mata mahukan publisiti, golongan seperti ini saya tidak akan beri peluang, “ katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Jojo berkata demikian bagi mengulas satu video yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang mencabar dirinya untuk beradu tenaga.
Cabaran itu dipercayai disebabkan ketidakpuashatian individu tersebut susulan pendapat Jojo mengenai kelebihan Muay Thai berbanding silat olahraga menerusi satu siaran podcast baru-baru ini.
Dalam pada itu, Jojo mengakui dirinya dihujani dengan komen serta kritikan negatif sejak kebelakangan ini, namun memilih untuk tidak mengambil endah mengenainya. – TVS