JAKARTA, 26 Jan: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menarik diri semasa perlawanan suku akhir Kejohanan Masters Indonesia 2024 di Istora Senayan di sini, hari ini.
Zii Jia yang menentang Brian Yang dari Kanada menamatkan perlawanan selepas kalah dalam set pertama dengan keputusan 14-21 dalam masa 19 minit.
Beliau enggan mengulas ketika ditanya mengenai punca menarik diri dan segera meninggalkan gelanggang perlawanan.
Bernama melaporkan, pihak pengurusan Zii Jia menerusi laman X menyatakan: “Lee Zii Jia terpaksa menarik diri pada pertengahan perlawanan kerana keadaan badannya semakin merosot akibat mengalami keracunan makanan sejak beberapa hari lepas.
“Zii Jia cuba menampilkan prestasi terbaiknya tetapi tidak dapat menyempurnakan perlawanan menentang Brian Yang,” menurut Team LZJ dipetik agensi berita itu.
Sementara itu, pasukan wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M.Thinaah terpaksa tunduk dengan kemaraan pasukan China Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam straight set selama 40 minit.
Gandingan Malaysia itu gagal menemui rentak apabila lawan berterusan menggasak pada permainan kedua sehingga terpaksa akur dengan keputusan 16-21, 9-21.
Kegagalan turut dicatat beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang terpaksa akur dengan kehebatan pasangan nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qong dalam perlawanan tiga set 21-18, 18-21, 13-21. – TVS