KUCHING, 25 Jan: Pemainan sempurna 300 jatuhan pin pada pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia Remaja IBF 2024 membantu wakil Malaysia, Megat Zaqrul Haikal berada pada landasan terbaik untuk memburu kejuaraan di Lima, Peru.
Pemain berusia 21 tahun itu bermula baik di Pusat Bowling Videna awal pagi tadi apabila menjatuhkan 219 dan 234 pin, diikuti hayunan cemerlang yang menghasilkan 12 strike pada permainan ketiga.
Juara Remaja Terbuka Antarabangsa Singapura 2023 itu menamatkan tiga permainan dengan 225, 192 dan 211 untuk jumlah keseluruhan 3,973 pin.
Megat Zaqrul Haikal kini berada di tangga ketiga sekali gus mengesahkan tempatnya pada suku akhir.
Pendahulu semalam, Robin Ilhammar dari Sweden mengekalkan penguasaan dengan 4,054 pin diikuti Samuel Carderon dari Colombia dengan 3,982 pin.
Sementara itu Nur Hazirah Ramli yang merampas tangga teratas semalam terpaksa akur turun ke tempat kedua selepas pusingan terakhir kelayakan.
Atlet berasal dari Sarawak itu melakukan 203, 203,191, 246,160 dan 165 untuk catatan keseluruhan 3,620 pin.
Hari terakhir kelayakan lewat malam tadi menyaksikan pendahulu kategori perempuan sekali lagi bertukar tangan apabila Nora Johansson dari Sweden mengambil alih kedudukan teratas Nur Hazirah.
Nora mengumpul 3,748 pin manakala Sara Duque dari Colombia ketiga.
Pemain boling Sarawak bakal terbang ke Peru, buru impian bergelar juara remaja dunia
Nur Hazirah ketika dihubungi TVS berkata, dia masih belum berpuas hati dengan prestasinya walaupun berjaya layak ke suku akhir.
“Dalam pusingan pertama, saya hanya menemui rentak balingan pada permainan terakhir.
“Sebenarnya saya dan jurulatih membuat perubahan terhadap bola yang digunakan untuk menyesuaikan dengan keadaan minyak pada permukaan lorong,” katanya. – TVS