KUCHING, 25 Jan: Inisiatif pendidikan tinggi percuma pada 2026 oleh Kerajaan Sarawak akan membantu mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang akan memberikan pulangan yang tinggi kepada pendapatan wilayah ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, inisiatif berkenaan juga akan memberi jaminan masa depan kepada anak Sarawak.
“Kita ingin memastikan pengisian kerja dalam sektor yang diyakini akan terus berkembang pada masa akan datang berjalan dengan lancar.
“Oleh itu, Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) telah mengumumkan hasrat beliau untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak untuk belajar dalam kursus yang mampu menyediakan peluang pekerjaan benpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Petra Jaya, di sini hari ini.
Sementara itu, Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menyeru ibu bapa supaya menyokong hasrat Kerajaan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak akan terus membawa masuk pelabur asing dalam bidang teknologi tinggi seperti hidrogen dan metanol bagi memastikan Bumi Kenyalang bergerak seiring perkembangan global,” tambahnya. -TVS