LIMBANG, 25 Jan: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bercadang untuk memperkenalkan modul keselamatan jalan raya dalam kurikulum pendidikan awal kanak-kanak, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Hasbi berkata kementeriannya akan memperuntukkan satu agensi di bawah Bahagian Pendidikan Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendedahkan pengetahuan dan kemahiran asas berkaitan keselamantan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak.
Ahli Parlimen Limbang itu menambah pendidikan keselamatan jalan raya wajar diperluaskan dalam kalangan kanak-kanak seawal usia dalam usaha melahirkan generasi pengguna jalan yang berhemah.
Pada masa sama katanya inisiaitif itu sejajar dengan hasrat kerajaan di bawah MOT untuk mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini terutama melibatkan para penunggang motosikal.
“Mungkin juga dapat disisipkan dalam pendidikan awal di tadika KEMAS dan sebagainya, kerana ini mungkin memberi impak kepada rakyat negara kita dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya dinegara kita.
“Jadi mungkin pendidikan ini juga dpt diserapkan dalam pendidikan awal kanak-kanak kita dan ini memang dalam perancangan MOT sebenarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tabika/Taska Kemas sesi 2023 dan 2024 bagi Parlimen Limbang di Dewan Suarah pada Khamis.
Hasbi menjelaskan lagi ibu bapa juga perlu mendedahkan anak-anak mereka bukan saja pendidikan formal yang berteraskan membaca dan mengira, akademik serta kokurikulum tetapi juga kepada aspek keselamatan jalan raya.
Jelasnya kanak-kanak seawal umur lima tahun seharusnya didedahkan dengan keselamatan jalan raya dalam mendidik mereka sebagaimana yang dilakukan di negara maju seperti Jepun. -TVS