KUCHING, 25 Jan: Jumlah kes kebakaran yang direkodkan sepanjang tahun lepas di Sarawak meningkat kepada 2,090 berbanding 1,648 pada 2022.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi perkongsian infografik statistik hari ini memaparkan jumlah operasi penyelamatan juga meningkat daripada 7,552 pada 2022 kepada 8,162 pada 2023.
Bagi tugas-tugas khas pula, statistik menunjukkan penurunan kepada 234 kes berbanding 636 pada 2022.
Jumlah panggilan palsu yang diterima pada 2023 juga menurun kepada hanya lima berbanding sembilan tahun sebelumnya.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral mencatatkan kes kebakaran tertinggi iaitu 220 kes.
Pengarah JBPM Sarawak, Datu Khirudin Drahman berkata, ini kerana BBP berkenaan bertanggungjawab menjaga kawasan yang besar.
“Selain itu, banyak kebakaran hutan dan ladang berlaku di sini berikutan aktiviti pembangunan pesat,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Statistik tahun lepas juga menunjukkan sembilan kematian direkodkan akibat kebakaran di Sarawak.
Ia melibatkan satu kematian di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah-Balingian, Kampung Nanga San, Jalan Sri Aman-Brayun (satu), RPR Batu Kawa Kuching (satu), Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Gong Siburan (satu kematian) dan Rumah Panjang Michael Sungai Sejugam juga dengan satu kes kematian.
Selain itu seorang mangsa juga meninggal dalam kebakaran di Rumah Panjang Sebom Nanga Masak, Ulu Katibas, Song mankala dua maut dalam kejadian di Ek Soon Enterprise Kampung Telong, Batu Niah.
Seorang mangsa pula meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Halut Matu, Daro.
Bagi jumlah panggilan kecemasan pula, BBP Batu Lintang dan BBP Petra Jaya menduduki tangga dua teratas iaitu masing-masing 687 panggilan dan 660 panggilan.
Menurut Khirudin, selain kebakaran, kedua-dua balai tersebut turut respon kepada kes-kes kecemasan, kemalangan jalan raya, operasi mencari mangsa lemas dan lain-lain.
Bagi kebakaran terbuka pula, sebanyak 1,069 kes direkodkan yang merangkumi kebakaran kebun dan ladang sebanyak 45 kes, hutan 67 kes, belukar dan lalang 705 kes dan sampah 252 kes. -TVS.