KUCHING, 25 Jan: Penghasilan Kamus Terjemahan Inggeris-Iban diyakini akan memacu perkembangan dan menyeragamkan penggunaan Bahasa Iban seiring dengan keperluan semasa, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata usaha yang dilaksanakan Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang dengan kerjasama The Educational Development Of Iban Language (AEDIL) dan Institut Pendidikan Guru Batu Lintang itu wajar mendapat pujian.
Uggah menambah selari dengan Malaysia yang telah terkenal di persada antarabangsa yang terbina atas kerukunan pelbagai bangsa, maka masyarakat Iban boleh menonjolkan keunikan bahasa mereka kepada masyarakat antarabangsa, dengan menghasilkan kamus yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengetahuan tentang bahasa Iban, khususnya pihak luar yang ingin mendalami dan belajar Bahasa Iban.
“Tujuan mengeluarkan (kamus ini) adalah untuk mereka bersama-sama menghasilkan bahasa yang seragam. Keseragaman penting kerana kita tahu bahasa Iban ini berbeza-beza di samping mengemaskini bahasa selari dengan perkembangan dunia dan teknologi.
“Misalnya, bagaimana kita hendak menterjemahkan perkataan ‘Carbon Trading” dalam bahasa Iban?,” soalnya sambil berterima kasih kepada pihak terlibat terutama penyelaras projek berkenan, Dr Lambat Lindong atas usaha penghasilan kamus tersebut.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kamus English-Iban anjuran Insitut Pendidikan Guru Kampus Rajang di Institus Pendidikan Guru Batu Lintang pada Khamis.
Sementara itu, penerbitan kamus terjemahan ini juga membuka peluang kepada mereka yang berminat dalam penulisan yang berkaitan dengan akademik, budaya, keagamaan dan seumpamanya, kerana para penulis boleh memilih perkataan-perkataan yang lebih sesuai mengikut keperluan penulisannya.
Tambahnya, kamus terjemahan yang mengandungi 698 muka surat ini sudah semestinya menyajikan pilihan perkataan yang cukup banyak untuk disesuaikan dengan bentuk penulisan mahupun penggunaannya dalam pertuturan seharian.
Sementara itu, penyelaras projek Kamus Terjemahan Inggeris-Iban, Dr lambat Lindong berkata kamus berkenaan dihasilkan dalam tempoh masa tiga tahun enam bulan iaitu bermula tahun 2020 dan siap pada 2023.
“Kerja-kerja menghasilkan kamus ini telah pun dilakukan secara intensif dan semasa perintah kawalan pergerakan zaman pandemik COVID-19 ada dalam kalangan kami bekerja sehingga 16 jam sehari. Kamus ini mengandungi 65,000 perkataan.
“Penghasilan kamus ini menyasarkan beberapa golongan pengguna termasuk mereka yang menghasilkan penyelidikan mengenai perkataan dan masyrakat Iban yang menhadapi masalah akibat kekurangan bahan rujukan, pengamal media, pelajar dan bangsa lain yang mahu belajar bahasa Iban,” katanya lagi.
Menurutnya sejak kamus ini disiapkan Ogos 2023 lepas, senaskah kamus tersebut telah pun diedarkan ke London dan senaskah lagi dihantar ke Australia untuk digunakan di negara itu.
Dalam pada itu, Dr Lambat berharap penghasilan kamus itu dapat menjadi rujukan dan mengembangkan penggunaan bahasa Iban seiring dengan keperluan dunia kini di samping mengukuhkan kebersamaan dalam komuniti besar. -TVS