KUCHING, 25 Jan: Para ibu bapa berperanan penting menyemai minat dan kesedaran dalam kalangan anak-anak mereka untuk mempelajari budaya dan agama menerusi perayaan masyarakat yang berbilang bangsa di Sarawak.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata meskipun masyarakat di negeri ini mengamalkan kepercayaan yang berbeza namun ia menjadi platform untuk meraikan perpaduan yang sekali gus akan menyemarakkan keharmonian Sarawak.
“Saya mahu terus tekankan semangat Sarawak. Kita perlu menghargainya. Biarkan generasi muda kita belajar dengan menyertai festival-festival budaya. Saya galakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka bergaul.
“Apabila kita sudah tahu budaya dan latar belakang masing-masing, ia akan menjadi mudah untuk kita hidup bersama-sama sebab kita secara semulajadinya akan mampu menghormati satu sama lain,” katanya.
Wee berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan upacara keagamaan Thaipusam di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Rock, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Presiden Persatuan Kuil Hindu Sri Maha Mariamman Shankar Ram.
Dalam pada itu, Wee memuji semangat komuniti Hindu di sini dalam meraikan Thaipusam hari ini meskipun dalam skala kecil susulan kerja-kerja pembinaan masih dilaksanakan di kuil tersebut.
“Meskipun komuniti Hindu di Sarawak tidak ramai namun mereka telah banyak memberi sumbangan melalui peranan masing-masing.
“Mereka telah berada di Kuching selama hampir 200 tahun dan antara ahli mereka ialah tokoh penting, rakan rapat, penyumbang sosial dan ikon budaya,” ujarnya.
Terdahulu, Wee turut berpeluang menyertai perarakan Thaipusamyan menyaksikan para penganut membawa kavadi dan paal kudam. – TVS