KUCHING, 25 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memerlukan sejumlah 20 buah Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) menjelang tahun 2040 bagi memantau serta menjaga keselamatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin berkata, bilangan aset APMM itu amat penting berikutan ia adalah usaha untuk memenuhi keperluan semasa seperti mengawasi sumber utama ekonomi negara iaitu minyak, gas, perikanan dan pelancongan, selain bagi tujuan keselamatan kepada kapal-kapal dari negara luar yang berada di perairan negara.
“Kita perlukan kapal OPV ini kerana kawasan kita luas, kita kena jaga pelantar minyak dan gas asli serta kawasan perikanan yang merupakan nadi ekonomi negara.
“Kita memerlukan 20 buah kapal OPV pada 2040 bagi kita menjaga perairan negara sejauh 200 batu nautika ini,” katanya dalam rancangan temu bual terbitan TVS, Dialog TVS – Membelah Samudera, Mendaulatkan Negara yang disiarkan pada Khamis.
Memetik contoh perairan di Sarawak, beliau berkata negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya sembilan buah Kapal OPV untuk menampung keperluan dalam menjaga keselamatan serta menangkis ancaman luar.
“Sarawak ini sahaja ada tiga sektor iaitu Kuching, Miri dan Bintulu. Setiap sektor itu luas, Kuching sepatutnya ada tiga iaitu satu kapal di laut, satu kapal di jeti dan satu kapal lagi untuk selenggaraan.
“Setiap sektor sekurang-kurangnya perlu ada tiga kapal OPV yang turut kita sekalikan dengan kapal ronda,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai keperluan pihak APMM terhadap aset tersebut, beliau berkata kapal OPV mempunyai kemampuan dan fungsi yang dapat membantu agensi itu berdepan dengan ancaman keselamatan.
“Keperluan OPV ini berdasarkan kepada ancaman bukannya pertahanan. Contohnya, jenayah rentas sempadan, jadi kita perlukan satu aset yang boleh beroperasi 21 hari di laut tanpa ulang bekal dengan kemampuan untuk menggerakkan aset seperti helikopter.
“Malaysia ini banyak sumber, jadi ramai yang berminat mahu curi minyak, ikan dan sebagainya,” ujarnya.
Setakat hari ini, katanya, APMM memiliki lima buah kapal OPV iaitu KM Bangi, KM Pekan, KM Arau, KM Langkawi dan OPV1.
Baru-baru ini kapal OPV1 melakukan rondaan secara rasmi dengan aktiviti pemantauan di perairan Sarawak pada 18 Januari selepas diserahkan kepada APMM pada 2 Januari lalu. – TVS