KUCHING, 25 Jan: Kecerdasan buatan (AI) dalam operasi perniagaan merupakan penggerak utama dalam sektor tersebut, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, ini kerana AI mempunyai keupayaan meningkatkan produktiviti usahawan serta menjadi salah satu penggerak penting yang telah mengubah landskap digital.
“Kemudian ia telah berubah pula kepada AI generatif. Sebelum ke sini, saya berkesempatan membaca sesuatu yang baharu mengenai AI, ia berkenaan dengan peranti yang dipanggil ‘Humane AI Pin’ yang membolehkan kita mencari penyelesaian hanya hujung jari sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘Gong Xi Fa Cai’ dan The Sarawak Entrepreneur Award (EOYS) 2023 anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI), Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg.
Teknologi berkenaan kata Abang Johari memberikan penyelesaiannya terhadap masalah yang dihadapi.
“Ini merupakan perkara baharu yang akan mengubah keseluruhan perniagaan serta cara menjalankan perniagaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut Abang Johari berkata, Sarawak secara keseluruhannya perlu bergerak seiring dengan perkembangan era digitalisasi dan teknologi.
“Saya pernah sebut tentang peralihan dalam rangka kerja digital kepada komuniti perniagaan .
“Justeru Sarawak perlu mengikuti perkembangan teknologi yang berubah pantas pada hari ini sama ada aspek menguruskan perniagaan atau pentadbiran kerajaan, kita perlu seiring dengan perubahan besar dalam teknologi,” tegasnya.
Sebelum ini, Abang Johari berkata, Sarawak komited untuk mentransformasikan ekonomi berasaskan sumber konvension kepada ekonomi dipacu teknologi mapan menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Pelan komprehensif itu katanya dirangka berdasarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 sedia ada serta bertindak sebagai fungsi asas Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS2030). -TVS