KUCHING, 24 Jan: Perlaburan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) ke atas dua ladang ternakan lembu di Australia membawa keuntungan sekali gus menampung industri pengeksportan daging lembu ke beberapa negara jiran.
Pengurus Besar SEDC Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir berkata ternakan daripada dua ladang keluasan 732,000 ekar (Rosewood) dan 100,000 ekar (Camor Plains) itu membolehkan daging lembu dieksport ke Filipina, Thailand, Brunei, Indonesia dan Malaysia sendiri.
Menurutnya, pelaburan SEDC itu juga merangkumi industri pasaran daging halal dengan sebahagian dari lembu tersebut dibawa menggunakan kapal laut dari Darwin ke sini untuk disembelih di beberapa rumah penyembelihan halal di Siburan, Ladang Karabungan Miri dan Kompleks Siburan Halal, Kuching untuk pasaran tempatan.
Abdul Hadi menambah kesemua rumah penyembelihan tersebut telah memperoleh sijil halal pada 2020 iaitu genap setahun ladang ternakan di Australia dibuka.
Namun begitu, beliau mendedahkan sijil Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) hanya diperoleh pada tahun 2022 ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia sebelum ini.
“Masa tu COVID-19, jadi kita belum ada Hazard (Hazard Analysis Critical Control Point) (HACCP), jadi kita tidak dapat HACCP untuk kilang kita.
“Orang di KL (Kuala Lumpur) dah tanya bila kita boleh membawa daging kita sebab mereka tahu (kualiti) daging SEDC kita,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika berupan pada acara jalinan kerjasama diantara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan PayNet yang berlangsung di Menara SEDC di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga telah mengesahkan bahawa kilang milik SEDC itu menjadi rujukan kepada satu ekosistem ternakan dan penyembelihan yang baik.
Hadir sama Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sarawak, Prof Madya Ts ChM Dr Mohammad Isa Mohamadin, Timbalan Pengurus Besar SEDC Rakayah Hamdan dan Pengarah Kanan, Bahagian Pendigital Kerajaan, Payment Network Sdn Bhd (PayNet). – TVS