MIRI, 24 Jan: Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri berjaya mematahkan cubaan menyeludup dan menjual pelbagai jenis rokok serta minuman keras tidak bercukai bernilai RM132,031.20 semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, URM menahan sebuah van di Jalan Dato Permaisuri menerusi Operasi Kontraban yang dijalankan pada pukul 9.30 pagi.
Kata beliau, pemeriksaan mendapati rokok dan minuman keras berkenaan disembunyikan di ruang belakang dalam van itu.
“Barangan itu dirampas apabila pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya menerusi kenyataan media malam tadi.
Kata beliau, pemandu berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“Kesemua barangan rampasan serta tangkapan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut,” katanya. -TVS