KOTA BHARU, 24 Jan: Polis giat memburu suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta peronda polis (MPV) model Proton Preve ketika cuba ditahan berhampiran Jalan Panji di sini, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku pada 3.30 pagi, ketika polis membuat rondaan cegah jenayah susulan laporan berlaku kes pecah rumah di kawasan berkenaan.
“Semasa rondaan dilakukan, anggota berkenaan telah mengesan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak mengejar kenderaan dinaiki suspek.
“Sebaik tiba di Jalan Perempuan Zainab II, penumpang hadapan kenderaan tersebut melepaskan satu das tembakan dan mengenai cermin hadapan sebelah kanan MPV polis sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Muhamad Zaki berkata, dua anggota polis yang berada dalam MPV berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihaknya berjaya menemukan kereta suspek di Taman Desa Rahmat, Kubang Kerian.
“Siasatan lanjut dilakukan dan polis sudah mengenal pasti identiti suspek. Kita percaya suspek tinggal di sebuah bilik yang dijadikan inap desa. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
“Pada masa sama siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, polis menahan tiga lelaki dan merampas dua pistol termasuk satu pistol tiruan menerusi dua serbuan berasingan di Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai, semalam.
Beliau berkata, kesemua suspek yang juga penganggur dan buruh berusia 31 hingga 45 tahun itu ditahan di dua rumah berasingan pada 11 pagi dan 7.30 malam.
“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini hingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971,” katanya. -TVS