KUCHING, 23 Jan: Wakil Malaysia, Nur Hazirah Ramli merampas kedudukan teratas pada Piala Dunia Remaja IBF 2024 di Lima, Peru selepas menamatkan blok kedua pagi tadi.
Pemain boling berasal dari Sarawak itu bagaimanapun bermula goyah pada dua permainan awal apabila sekadar menjatuhkan 178 dan 175 pin.
Nur Hazirah yang juga Juara Remaja Terbuka Antarabangsa Thailand 2023 bangkit dengan balingan lebih kemas pada baki empat permainan apabila melakukan 215, 244, 218 dan menamatkan saingan dengan 213 pin.
Jumlah keseluruhan 2,452 pin yang dikumpul memadai untuk Nur Hazirah ‘menolak’ pendahulu hari pertama, Sara Duque dari Colombia ke tempat kedua dengan 2,411 pin.
Pemain Sweden, Nora Johansson melengkapkan senarai tiga teratas dengan jatuhan 2,382 pin.
Sementara itu kategori lelaki menyaksikan Megat Zaqrul Haiqal berjaya memperbaiki kedudukan ke tempat ketiga berbanding keempat pada hari pertama.
Megat Zaqrul Haiqal yang juga Juara Remaja Terbuka Singapura 2023 itu melakukan catatan 193,237,216, 246,215 dan 187 pin untuk jumlah keseluruhan 2,592.
Kategori lelaki turut menyaksikan pendahulu bertukar tangan apabila Robin Ilhammar dari Sweden merampas kedudukan teratas daripada Samuel Calderon dari Colombia.
Nur Hazirah di tempat kedua hari pertama Piala Dunia Remaja IBF 2024
Robin mengumpul 1,359 pin untuk catatan keseluruhan 2,703 manakala Samuel mengekori dengan 2,677 pin.
Kesemua pemain akan turut beraksi pada blok terakhir (lewat malam ini waktu Malaysia) di Pusat Bowling Videna untuk mengesahkan tempat ke pusingan berikutnya. -TVS