KUCHING, 24 Jan: Individu yang memiliki senjata api buatan sendiri serta tanpa lesen diminta segera menyerahkan ia kepada polis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, pemilikan senjata demikian merupakan kesalahan yang boleh didakwa di bawah Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM10, 000.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang memiliki senjata api buatan sendiri tanpa lesen.
“Mereka yang memiliki senjata api buatan sendiri tanpa lesen ini dinasihati agar segera menyerahkannya kepada pihak polis sebelum tindakan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching pada Rabu.
Mancha menegaskan bahawa pihak polis memandang serius isu pemilikan senjata api buatan sendiri dan tanpa lesen bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau pada 16 Januari 2024 menerima satu laporan berhubung kejadian yang mengakibatkan kecederaan berikutan letupan senjatapi buatan sendiri.
Susulan kejadian terbabit, mangsa yang cedera di bahagian paha kiri dikejarkan ke Hospital Sarikei bagi mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.
Kes terbabit di siasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960. -TVS