KUCHING, 24 Jan: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI) dengan kerjasama stesen televisyen milik Sarawak, TVS menonjolkan sisi perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia dan Sarawak khasnya.
Presiden KCGCCI, Dato Tan Jit Kee berkata, menerusi pelbagai aktiviti kebajikan, keharmonian di Malaysia akan semakin bercambah.
Kata beliau, persatuan itu berharap lebih ramai pihak yang akan menyumbang untuk melaksanakan kerja kebajikan terutamanya di Sarawak.
“Ini merupakan budaya di Malaysia. Saya kira seluruh rakyat Malaysia prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik.
“Bagi komuniti Cina, kami di KCGCCI menyokong penuh aktiviti seperti ini,” katanya kepada TVS selepas menyerahkan sumbangan di Hospital Peringatan Rajah Brooke di sini hari ini.
Pada tahun ini, program CSR oleh KCGCCI dan TVS memilih 10 lokasi untuk menyampaikan sumbangan antaranya di Hospital Peringatan Rajah Brooke, Rumah Seri Kenangan Kuching, The Boys Home dan The Salvation Army.
Sementara itu, Jit Kee berkata, dana yang diperoleh merupakan hasil sumbangan ahli biasa dan ahli jawatankuasa mereka serta orang awam.
“Persatuan berjaya mengumpul dana berjumlah RM80,000 untuk laksanakan aktiviti kebajikan ini,” tambahnya.
Beliau pada masa sama turut berharap agar golongan muda akan lebih cakna dan peka mengenai keperluan golongan kurang bernasib.
Di pihak TVS pula, stesen berkenaan sentiasa mengalu-alukan pihak lain untuk berminat untuk turut serta dalam menjayakan program CSR pada masa akan datang.
Eksekutif Perhubungan Awam dan Promosi TVS, Sharif Surur Raihan berkata, mereka juga terbuka untuk bekerjasama dengan syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jabatan kerajaan yang ingin melaksanakan CSR.
“Selain itu kita juga ingin memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa TVS bukan sekadar sebuah stesen televisyen tetapi juga sebagai satu jenama yang prihatin terhadap masyarakat dan sekeliling,” ujarnya.
Sempena program hari ini, kakitangan TVS dan ahli KCGCCI menyantuni penghuni di Rumah Seri Kenangan Kuching dan Hospital Peringatan Rajah Brooke menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi. -TVS.