KUCHING, 24 JAN: Kadar jenayah kecurian motosikal di Kuching meningkat 6.97 peratus atau 48 kes menjadikan indeks itu dicatatkan sebagai kes paling tinggi dilaporkan pada tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching, Ahsmon Bajah mendedahkan jenayah indeks kekerasan pula menunjukkan penurunan kes sebanyak 23.24 peratus (-33 kes).
“Lain-lain kes kecurian sebanyak 263 kes.
“Selain itu empat sindiket samun dan pecah rumah telah ditumpaskan yang mana berjaya menyelesaikan enam kes curi kenderaan dan 13 kes curi, samun atau ragut.
“Turut ditumpaskan tiga sindiket curi kabel yang berjaya menyelesaikan lima kes curi kabel sekitar Kuching,” katanya.
Ahsmon berkata demikian menerusi satu kenyataan media bagi prestasi pencegahan dan pembanterasan jenayah IPD Kuching bagi tahun 2023, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan antara kejayaan yang dicapai pada tahun 2023 adalah dengan tumpasnya satu sindiket curi kenderaan yang sekali gus berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal di sini.
Selain itu, Ahsmon memberitahu jenayah narkotik IPD Kuching pula mencatatkan sejumlah 2,329 kes telah dibuka melibatkan sebanyak 2,450 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah.
“Secara keseluruhannya rampasan dadah tertinggi pada tahun 2023 adalah dadah jenis syabu iaitu seberat 86 kilogram.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah ialah lebih kurang RM18 juta,” katanya.
Justeru itu, Ahsmon menegaskan IPD Kuching komited meningkatkan usaha dalam mencegah dan membanteras jenayah pada 2024 agar perkhidmatan polis dekat dengan masyarakat di sini. -TVS