MIRI, 24 Jan: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTKS) telah melancarkan Operasi Restologi di restoran dan pusat refleksologi di sekitar bandar raya ini malam tadi.
Pengarah JTKS, Awang Raduan Awang Omar berkata, operasi itu yang melibatkan seramai 86 orang pegawai memfokuskan pematuhan undang-undang buruh bagi sektor perkhidmatan yang menggaji pekerja pada waktu malam.
“Perkara yang diperiksa semasa operasi adalah berhubung bayaran gaji termasuk potongan gaji, waktu bekerja, pemberian kelayakan cuti bergaji dan penggajian pekerja bukan pemastautin,” katanya pada sidang media malam tadi.
Selain itu Awang Raduan berkata, pihaknya juga memerika jika terdapat penggajian pekerja kanak-kanak dan amalan buruh paksa oleh majikan.
Sementara itu beliau memberitahu, pada 2023, JTKS telah memeriksa sebanyak 5,285 tempat pekerjaan.
Daripada jumlah itu katanya, pihaknya mengesan pelanggaran berkaitan kewangan berjumlah RM632,903.09 dan sejumlah RM605,554.01 membabitkan bayaran tertunggak tersebut telah dibayar kepada pekerja terlibat.
Jumlah itu jelas beliau merupakan rekod tertinggi bayaran tertunggak yang dikesan melalui operasi pemeriksaan sepanjang 2023 berbanding RM488,896.76 pada 2022.
“Tahun ini, JKTS menetapkan sasaran untuk menjalankan pemeriksaan berkanun ke atas 350 operasi di semua sektor dan 6,000 tempat pekerjaan di seluruh Sarawak. -TVS