Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia menyampaikan hasrat agar agar Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB serta gesaan gencatan senjata kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres, semalam. Foto hiasan, Envato.

Hasrat Palestin diterima anggota penuh PBB, gesaan gencatan senjata disampaikan di New York – Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta gesaan gencatan senjata telah disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatannya di Facebook hari ini berkata gesaan itu disampaikan Mohamad seiring dengan kenyataan Antonio di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.

“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak.

“Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan. Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip bahawa Palestin berhak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu Kota.

Mohamad dalam ucapannya di Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin, pada Selasa (Rabu waktu Malaysia) berkata, Malaysia menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel terhadap undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza.

Mohamad berkata ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan