KUANTAN, 24 Jan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ialah raja yang amat responsif terhadap aduan dan keluhan rakyat.
Berkongsi pengalaman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata komitmen Seri Paduka berdua untuk memberi perhatian penuh terhadap setiap aduan yang diajukan, dapat dilihat setiap kali pasangan diraja itu bertemu rakyat dan waktu berkenaan dimanfaatkan untuk baginda mendengar sendiri aduan dan masalah rakyat.
“Ada yang diselesaikan segera atau jika ia melibatkan dasar, Tuanku akan bertitah kepada pihak berkaitan seperti Menteri Besar atau wakil rakyat,” katanya pada temu bual segmen “Jendela Fikir: Dirgahayu Tuanku” di Bernama Radio hari ini.
Mohd Sharkar berkata sifat cakna itu juga membuatkan barisan pentadbiran di Pahang perlu sentiasa bersedia kerana Seri Paduka berdua ada masanya mengajukan soalan mengejut berkaitan “kawasan dalam jagaan” atau jika ada perkara tertentu yang ingin diketahui mereka.
“Bagaimanapun, Tuanku berminda terbuka, terima pandangan daripada semua pihak dan pastikan keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk negara atau negeri. Dalam memberi pandangan, kita juga boleh beg to differ (tidak bersetuju) dan sudah pasti kita sentiasa melakukannya dengan tertib dan hormat,” katanya.
Keperibadian itu kata Mohd Sharkar, telah disaksikan beliau sejak dahulu lagi, iaitu semasa Al-Sultan Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang dan Tunku Azizah selaku Tengku Puan Pahang, dan kini sifat berkenaan diwarisi pula oleh anakanda Seri Paduka berdua.
Selain itu, menurut Mohd Sharkar, Seri Paduka berdua juga tidak berasa hati jika ada yang tidak mahir dengan protokol istana dan tidak pernah menunjukkan riak wajah tidak menyenangi kehadiran orang, sebaliknya sentiasa mengamalkan sifat terbuka termasuk ada masanya berseloroh dengan rakyat menyebabkan pasangan diraja itu sentiasa menjadi permata hati rakyat.
Program Jendela Fikir Edisi khas dijadual bersiaran bermula 23 hingga 29 Januari sebagai penghormatan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini. -TVS