KUCHING, 23 Jan: Usaha membawa pulang rakyat Sarawak yang dilaporkan terkandas di Filipina dipergiat, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Sekarang ini cuma hendak menunggu (jumlah) kos kerana dia tinggal lebih masa, dia pergi ke sana dia tinggal lebih masa, maka kos penalti perlu dikira dan setakat hari ini, saya belum terima (jumlah kos) lagi.
“Banyak yang telah dibantu cuma dari segi hendak membawa balik, dari segi undang-undang lain, dari segi kos tinggal lebih masa, macam mana hendak mengendalikan (perkara itu),” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Back to School Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bako di Dewan Serbaguna Kampung Tanjong Bako, di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan sebuah pasukan telah dikerahkan bagi menjalankan siasatan berhubung isu terbabit.
Terdahulu, Sheryl Balisia Cabrera mendakwa anaknya, Dewi Farisha yang berusia 25 tahun dan dua cucunya terkandas di Manila, Filipina sejak 2019.
Apa yang merisaukan Sheryl Balisia, pasport anaknya juga akan tamat tempoh pada bulan depan selain terpaksa mengirim wang setiap dua hari untuk menanggung kos hidup anak dan cucu-cucunya yang kini tinggal di kawasan setinggan di negara itu. – TVS