Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar SK Tanjong Bako. Foto TVS.

SK Tanjong Bako daif, tidak selamat, perlukan tapak tanah baharu – Nancy

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 23 Jan: Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bako yang dikategorikan sekolah daif memohon agar diberikan tapak tanah  untuk membangunkan bangunan sekolah baharu berikutan lokasi sedia ada berbahaya untuk seluruh warga sekolah terutamanya para pelajar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata permohonan itu wajar dipertimbangkan susulan keadaan sekolah itu tidak sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

“Saya difahamkan sekolah ini telah memohon tanah untuk dipindahkan sekolah ini kerana keadaan mereka di situ yang sedia ada ini dimasuki air dan juga ada bangunan sekolahnya langsung tidak dapat diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Back to School di Dewan Serbaguna Kampung Tanjong Bako di sini, hari ini.

Nancy dalam pada itu mendedahkan dirinya gemar untuk turun padang demi melihat serta menilai sendiri keadaan sekolah yang dikategorikan daif bagi mengenal pasti keperluan dan bantuan yang diperlukan.

“Apa yang kekurangan, apa yang boleh kita lakukan untuk menambah baik lagi terutama sekali sekolah di luar bandar masih banyak yang daif lagi.

“Kerajaan hanya bercakap mengenai membantu sekolah daif. Tetapi adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai Ahli Parlimen untuk melihat sendiri dan menyuarakan sendiri dengan Menteri supaya boleh disegerakan segala yang perlu dilakukan di setiap sekolah daif ini,” ujarnya.

Sementara itu, majlis menyaksikan seramai 146 orang pelajar SK Tanjong Bako hari ini menerima sumbangan berupa pakaian seragam sekolah, beg sekolah, kasut, stoking, kotak pensel dan set alat tulis yang disumbangkan Yayasan Sime Darby (YSD).

Program tersebut merupakan kolaborasi antara Pusat Khidmat P193 Santubong dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu YSD, Sime Darby Industrial, Rotary Club Kuching Central dan Yayasan Kebajikan Negara.

Untuk rekod, sejak tahun 2014, YSD telah menyalurkan bantuan persekolahan yang berjumlah RM5.5 juta kepada lebih 38,000 orang pelajar melalui Program YSD Back to School.

Program tahunan ini bertujuan untuk mendekati masyarakat B40 dan luar bandar serta membantu meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti serta inklusif untuk semua pelajar di seluruh Malaysia. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan