Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Foto Bernama.

Pakej p-hailing rahmah bantu kurangkan kos perkhidmatan internet

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Jan: Pakej p-hailing Rahmah yang dilancarkan kerajaan hari ini mampu mengurangkan beban pemandu dan penunggang p-hailing atau penghantar (rider) untuk menikmati perkhidmatan internet pada harga murah.

Pemandu dan penunggang p-hailing yang ditemui berpendapat pakej itu mampu mengurangkan kos perkhidmatan internet bagi hampir 200,000 penghantar yang rata-rata tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Adanya perkhidmatan internet serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB, saya mampu menjimatkan wang kerana sebelum ini saya perlu bayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan sama… lebih kurang RM90,” kata seorang penghantar Abdul Muiz Nazari.

Abdul Muiz, 29, berkata pelan itu mencukupi baginya melayari internet dan menjalankan tugasan menghantar makanan yang dipesan melalui penyedia platform p-hailing.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan perkhidmatan internet p-hailing Rahmah bermula hari ini hingga 23 April depan.

Pakej tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G), dan juga 16 penyedia platform p-hailing di negara ini.

Fahmi berkata pakej p-hailing Rahmah juga bertujuan meningkatkan keterhubungan digital penunggang p-hailing dan membolehkan mereka mengakses maklumat diperlukan semasa melaksanakan tugas.

Seorang lagi pemandu dan penunggang p-hailing, Muhammad Nur Aliff Abdullah, 28, berkata harga bagi pelan dengan data 40GB itu sepatutnya lebih rendah dan tidak terhad.

“Ini kerana kebanyakan syarikat telekomunikasi dalam negara memang menjual kuota. Bagi saya untuk pelan Rahmah terutamanya kepada penghantar seperti kami, ia sepatutnya dijual pada harga lebih murah tetapi tahap kelajuan 5G tanpa had,” katanya.

Muhammad Nur Aliff berkata setakat ini terdapat juga syarikat telekomunikasi yang menawarkan kepada pengguna prabayar data tanpa had pada harga RM30 sebulan.

“Mungkin pakej ini boleh dijual dengan harga RM28 data tanpa had 5G (kelajuan 5mbps) ataupun RM35 – data tanpa had 5G – kelajuan 6mbps,” katanya yang telah bekerja sebagai penghantar sejak 2021 dengan purata pendapatan sekitar RM3,000-RM4,000 sebulan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan