KUCHING, 23 Jan: Wakil Malaysia, Nur Hazirah Ramli memulakan Piala Dunia Remaja IBF 2024 dengan aksi meyakinkan apabila menamatkan pusingan pertama di tempat kedua.
Pada aksi di Pusat Bowling Videna, Lima, Peru lewat malam tadi waktu Malaysia, pemain kelahiran Kuching itu mendahului dua pusingan awal apabila mengumpul 393 pin sambil dicabar hebat Maxine Bolek dari Jerman yang ketinggalan satu pin di belakang.
Pemenang dua pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 itu kemudian meneruskan balingan konsisten dengan catatan 191,191,192 dan menamatkan enam permainan dengan 242 pin untuk jumlah keseluruhan 1,209 pin.
Catatan itu meletakkan Nur Hazirah di tempat kedua.
Pemain Colombia, Sara Duque bangkit pada permainan terakhir apabila membenam 267 pin untuk jatuhan keseluruhan 1,236 bagi mendahului hari pertama.
Wakil Amerika Syarikat, Jenna Stretch pula di tempat ketiga dengan 1,175 pin.
Atlet Sarawak muncul juara dua kejohanan antarabangsa dalam tempoh empat hari
Sementara itu pemain boling lelaki Malaysia, Megat Zaqrul turut bermula baik apabila menamatkan permainan di tempat keempat.
Megat Zaqrul melakukan deretan 205,222,202,227, 212 dan menutup permainan dengan 231 pin untuk catatan keseluruhan 1,298 pin.
Colombia turut menguasai kedudukan teratas kategori lelaki menerusi Samuel Calderon yang mengumpul 1,403 pin diikuti Robin Ilhammar dari Sweden di kedudukan kedua dengan 1,344.
Lukas Jelinek dari Republik Czech pula melengkapkan senarai tiga teratas.
Pemain boling Sarawak bakal terbang ke Peru, buru impian bergelar juara remaja dunia
Esok kesemua pemain akan turun pada blok kedua membabitkan enam lagi permainan. -TVS