Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid (dua, kiri) dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.Foto, Bernama.

Isteri Daim didakwa tidak isytihar harta

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Jan: Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Na’imah, 66, isteri bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Na’imah didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, M.Puravalen dan Alex Tan.

Terdahulu, Na’imah yang memakai baju kurung berwarna hijau berkata: ”saya faham pertuduhan dan mohon dibicarakan”, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Pada 10 Januari lepas,  Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan bahawa kenyataan telah diambil daripada isteri dan anak-anak lelaki Daim untuk membantu siasatan di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora dan kertas siasatan bagi kes itu telah dibuka pada Februari tahun lepas.

Terdahulu, Ahmad Feisal memohon mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mohd Yusof bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM250,000 selain membantah penyerahan pasport kepada mahkamah atas alasan anak guamnya bukanlah seorang ‘flight risk’ (risiko melarikan diri).

“Na’imah bukanlah terlibat dengan sebarang kes jenayah yang menjadikannya ‘flight risk’ dan beliau tinggal (kediamannya) di belakang mahkamah ini sahaja.

“Dia tidak akan ke mana-mana dan dia berada di sini untuk mempertahankan diri dalam kes ini,” katanya.

Azura membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Turut kelihatan hadir di mahkamah adalah ahli keluarga tertuduh. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan