SARIKEI, 23 Jan: Acara ‘eye dotting’ merupakan simbolik menghidupkan semangat patung singa atau naga sebelum tarian atau ‘wu shi’ bermula sekali gus menjadi pelengkap sambutan Tahun Baru Cina.
Acara unik anjuran Persatuan Buddha Orthodox Sarikei itu disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Sri Huang Tiong Sii, di sini, pada Khamis.
“Yeong Mei Lau, ‘eye dotting’ biasanya dilakukan ke atas patung singa yang baharu. Mengikut budaya Cina, upacara ini adalah untuk memberi kuasa kepada naga tersebut untuk membawa perlindungan, tuah, kesihatan dan kemakmuran,” katanya.
Terdahulu, Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, menggunakan dakwat khas ‘zhu-sah’ berwarna merah yang dititikkan di atas mata naga tersebut sambil disaksikan lebih 60 orang penganut Buddha.
“Semoga Tahun Baharu Cina yang menjelang tidak lama lagi terus membawa kemakmuran kepada segenap lapisan rakyat khususnya di Sarikei.
“Toleransi antara masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di Sarawak perlu dikekalkan bagi mewujudkan komuniti yang harmoni. Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting agar Sarawak dan juga Malaysia amnya terus membangun dan sejahtera,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Buddha Orthodox Sarikei, Pemanca Chan Phan Chan, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Tiong Sii yang banyak menyumbang peruntukan bagi menaiktaraf kemudahan rumah ibadat berkenaan.- TVS