JAKARTA, 22 Jan: Tiga disahkan maut manakala seorang cedera parah akibat dihempap bangunan runtuh di Tebet, Jakarta Selatan, petang semalam.
Bangunan setinggi enam meter serta 30 meter lebar itu runtuh disebabkan kejadian angin kencang yang melanda kawasan berkenaan.
Ketua Bomba Wilayah Jakarta Satriadi Gunawan berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa sedang berteduh dalam bangunan itu.
“Bangunan itu (sebenarnya) telah retak di bahagian bawah dan runtuh secara tiba-tiba dan menghempap kesemua mangsa dari arah belakang,” katanya.
Kesemua yang meninggal dunia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan identiti mereka disahkan sebagai Samedi Iriyanto, berusia 80 tahun, Thio Tinnio (74) dan Ami Kusuma Dewi yang berusia 35 tahun. -TVS