KOTA SAMARAHAN, 22 Jan: Penyanyi dan pempengaruh media sosial terkenal tanah air, Luqman Podolski menyuarakan keinginannya untuk mengadakan persembahan di Sarawak.
Luqman atau nama sebenarnya Luqmanul Haqim Kamaruddin berkata, Noh Hujan merupakan artis dari Sarawak yang menjadi senarai dalam keinginan berkolaborasi pada masa akan datang.
“Sasaran saya selepas ini di sini (Sarawak) dan jiran sebelah (Sabah). Saya berharap akan ada lagi jelajah pada masa akan datang terutamanya di dalam dua negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan FACA Fest 2024 di sini, pada Ahad.
Luqman berkata, dia akan terlibat dalam projek seni bersama artis Indonesia dan tanah air, Namewee yang akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri kelak.
Ditanya mengenai perasaan mengadakan persembahan di Sarawak, dia kagum akan penerimaan penonton di Sarawak yang ‘sporting’ sekali gus suasananya yang meriah.
Untuk rekod, Luqman mula berkecimpung dalam industri hiburan sebagai pempengaruh media sosial yang sering memuatnaik kandungan komedi melalui akaun Vines miliknya manakala bidang nyanyian pada tahun 2020 dengan album sulungnya, Hitam Putih – TVS