KUALA LUMPUR, 22 Jan: Isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok susulan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semakan dalam sistem e-filing mahkamah mendedahkan bahawa kes itu akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi pada 9 pagi.
Warga emas berusia 66 tahun itu akan didakwa di bawah Akta SPRM namun butiran lanjut tidak dinyatakan.
Pada 10 Januari lepas, Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi anti rasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.
Sebelum ini, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan bahawa kenyataan telah diambil daripada isteri dan anak-anak lelaki Daim untuk membantu siasatan di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.
SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora dan kertas siasatan bagi kes itu telah dibuka pada Februari tahun lepas. – TVS