KOTA SAMARAHAN, 22 Jan: FACA Fest 2024 dilihat sebagai platform yang dapat mengembangkan kemahiran pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Ir Dr Al-Khalid Othman berkata, pembangunan FACA Fest dilihat penting dalam pengajaran dan pembelajaran di kampus.
“Pada era pandemik misalnya, ia dapat menunjukkan bakat dan pengurusan pelajar kita dalam menguruskan acara dan boleh dikatakan berjaya walaupun berlangsung secara dalam talian.
“Jelas sekali, FACA Fest menjadi satu platform yang bagus yang telah menyedikan kemahiran dan pengalaman yang tidak dapat dilakukan di dalam kelas,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan FACA Fest 2024 di sini, hari ini.
FACA Fest adalah acara tahunan bagi pelajar Pengurusan Seni Tahun 2 Semester 1 Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) yang telah dianjurkan sejak tahun 2018 yang menerapkan konsep Project Based Learning (PBL) di mana pelajar akan melakukan pembelajaran secara dalam praktikal yang berkolabrasi dengan pihak industri luar dalam skala yang besar dan selaras dengan visi dan misi UNIMAS dengan melahirkan ‘Future Ready Graduate’.
FACA Fest 2024 telah menganjurkan enam buah sub program yang bermula dari 6 Januari lalu hingga semalam yang melibatkan FACA Escape Adventure, Program E-Sport Gold Challenge, A Date with Arts, H20 Fun Run, Shooting Stars dan Program Devils House manakala pada majlis penutupan diserikan dengan persembahan penyanyi dan pempengaruh media sosial yang terkenal, Luqman Podolski. – TVS