PUTRAJAYA, 22 Jan: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kesediaan untuk disiasat mengenai sebarang dakwaan salah laku terhadap dirinya ketika menyandang jawatan perdana menteri.
Bercakap pada sidang media khas di sini hari ini, bekas perdana menteri itu berkata beliau adalah individu yang mudah untuk disiasat.
“Saya nak kata saya tak setuju (kenyataan) ‘not easy to investigate Tun’, kerana saya mudah disiasat. Mudah, bila-bila masa boleh siasat saya, saya sedia disiasat.
“Akaun (bank) saya pun boleh tengok. Bank mana pun boleh. Segalanya kerajaan boleh dapat akses untuk siasat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa tidak mudah bagi kerajaan untuk menjalankan siasatan terhadap golongan kenamaan termasuk individu yang bergelar ‘Tun’ berhubung kecurian dana kerajaan.
Bagaimanapun Dr Mahathir berkata setiap dakwaan perlu dikemukakan bersama bukti bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa selain membolehkan dirinya membuat persiapan untuk mempertahankan diri di mahkamah.
Dr Mahathir pernah menyandang jawatan perdana menteri sebanyak dua kali iaitu dari Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan kemudiannya dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
Mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anaknya, Mirzan, Dr Mahathir menyifatkan arahan SPRM supaya ahli perniagaan itu mengemukakan sumber aset yang diperoleh sejak 42 tahun dalam tempoh masa 30 hari adalah “tidak masuk akal”.
Pada 18 Januari lepas, media melaporkan SPRM telah menyerahkan satu perintah notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Mirzan, yang mengkehendaki anak bekas perdana menteri itu mengisytiharkan aset alih dan tidak alih dalam pegangannya dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan. -TVS