BETONG, 22 Jan: Tanggapan bahawa kerajaan Sarawak menganiaya atau mendiskriminasi firma dari China yang terlibat dalam projek infrastruktur besar di negeri ini adalah tidak benar.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tanggapan sedemikian berlaku apabila kontrak pembinaan Jambatan Rambungan dekat Kuching ditamatkan baru-baru ini.
Sebuah firma dari China terlibat dalam pembinaan projek yang tertangguh ini.
“Kami mahu memastikan kontraktor bertanggungjawab menyiapkan projek mereka tepat pada masanya,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan selepas melawat tapak pembinaan jambatan Batang Saribas II di Beladin di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu melawat tapak pembinaan Jambatan Lupar I dan Jambatan Batang Saribas I.
Turut serta, Konsul Jeneral Republik China ke Sarawak Xing Weiping, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau dan Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Meehan Jorai.
“Sebab itu hari ini saya menjemput Konsul Jeneral Xing untuk menyertai saya dalam lawatan ini.
“Kami mahu menunjukkan kepadanya bagaimana kami menjalankan taklimat kemajuan pelaksanaan projek,” jelasnya.
Uggah menjelaskan, beberapa firma kejuruteraan dari China terlibat dalam pelaksanaan projek infrastruktur besar di Sarawak dengan rakan kongsi tempatan.
Menurutnya, Jambatan Lupar 1, Jambatan Batang Saribas 1 dan Batang Saribas II turut membabitkan kontraktor dari China.
Mengenai projek jambatan Batang Lupar I bernilai RM848.745 juta, Uggah berkata beliau gembira dengan kemajuannya.
“Ada beberapa isu kecil yang kami nasihatkan kontraktor untuk mencari jalan untuk menyelesaikannya dengan segera.
“Kami menjangkakan jambatan ini akan siap menjelang November 2025 jika semuanya berjalan lancar,” katanya.
Mengenai Jambatan Saribas I, beliau berkata projek bernilai RM375.5 juta itu disasarkan siap pada April 2025.
“Kami mengadakan perbincangan yang berkesan dengan kontraktor berkenaan beberapa isu. Pada masa ini, kemajuan prestasi mereka tidak memuaskan.
“Kemajuan fizikal sebenar ialah 76.60 peratus berbanding jadualnya 86.54 peratus.
Menurutnya, kontraktor jambatan itu menghadapi beberapa isu dan telah dinasihatkan agar diselesaikan bagi meningkatkan prestasi mereka.
Mengenai projek Jambatan Saribas II, beliau berkata projek bernilai RM385 juta itu dijangka siap pada 1 Ogos 2025.