Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan calon Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu. Foto Bernama

Agong perkenan calon Yang di-Pertua Negeri Sarawak baharu, diumum sehari dua lagi – Anwar

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan calon Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengumuman mengenai perkara itu dijangka dilakukan dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Anwar berkata nama calon Yang di-Pertua Negeri itu telah dikemukakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepadanya, dan seterusnya dipersembahkan (oleh Perdana Menteri) kepada Al-Sultan Abdullah pada minggu lepas.

“Seterusnya mengenai pelantikan Yang di-Pertua Dewan Negara, kita bincang dan akan adakan mesyuarat Sekreteriat Kerajaan Perpaduan malam ini supaya dapat disegerakan pelantikannya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Pemikiran Global 2024 bertemakan The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi peletakan jawatan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara seperti dilaporkan media pada Jumaat bagi menyandang jawatan TYT Sarawak kelapan, menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Anwar bagaimanapun tidak memberi sebarang pengesahan mengenai peletakan jawatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan