KUALA LUMPUR, 22 Jan: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah meluluskan permohonan melantik secara tetap seramai 1,197 pegawai baharu di kementerian itu.
Menurut KKM, kelulusan yang diberikan pada 29 September 2023 dan 3 Januari lepas meliputi seramai 857 calon pegawai perubatan dan 340 pegawai farmasi.
Jelas KKM, pelantikan itu bertujuan untuk mengisi baki kekosongan jawatan selepas selesai urusan 1,508 calon simpanan pegawai perubatan dan pegawai farmasi fasa pertama yang melapor diri bertugas pada 18 Disember 2023.
“Selaras dengan kelulusan SPA, semua calon simpanan yang menerima surat tawaran pelantikan tetap telah dimaklumkan untuk melengkapkan urusan setuju terima pelantikan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA.
“Urusan ini telah berlangsung dalam tempoh 21 hari bermula 29 Disember 2023 bagi calon pegawai perubatandan 3 Januari 2024 untuk calon pegawai farmasi,” jelas KKM menerusi kenyataan media hari ini.
Sebelum ini pada Oktober lepas, bekas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, lantikan tetap bagi menempatkan baki 2,083 pegawai perubatan kontrak daripada 4,263 kekosongan jawatan untuk kuota 2023 akan selesai selewat-lewatnya Disember tahun lepas.
Sementara itu, KKM memaklumkan, setiap calon telah dimaklumkan untuk membuat pemilihan penempatan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas dalam tempoh sistem dibuka bermula 15 Januari hingga 17 Januari 2024.
“Tawaran pelantikan tetap terbatal sekiranya calon tidak membuat pemilihan penempatan dalam tempoh yang ditetapkan,” tambah KKM. -TVS.