MIRI, 21 Jan: Penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dinasihatkan untuk memanfaatkan sepenuhnya geran yang telah diagihkan dengan lebih efisyen.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom menyarankan agar para penerima mempelbagaikan penggunaan imbuhan yang diterima dan tidak hanya menumpukan kepada satu aspek penambahbaikan yang spesifik sahaja.
“Saya telah pun memberikan sedikit gambaran bagaimana keadaan ekonomi Sarawak dan sebagainya dan bagaimana kita dapat memastikan keterjaminan makanan dan sebagainya di Sarawak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian MRP Suai Niah di Pusat Khidmat Masyarakat Simpang Asah Niah pada Ahad.
Selain pembangunan infrastuktur, para penerima turut dinasihatkan untuk mempelbagaikan penanaman komoditi untuk menambah pendapatan selain meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk.
Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena turut menasihatkan para penerima MRP kawasan Suai Niah yang rata-ratanya terdiri daripada golongan petani untuk mengintegrasikan penanaman tanaman komoditi selain kelapa sawit.
Menurutnya lagi, kepelbagaian penanaman hasil tanaman ini penting untuk tidak terlalu bergantung kepada satu jenis komoditi, dan ini penting sekira berlakunya kejatuhan harga komoditi di pasaran.
Pada masa yang sama, kepelbagaian penanaman komoditi ini secara tidak langsung akan memangkin sektor keterjaminan makanan di negeri ini.
Sejumlah RM457,000 diagihkan kepada 23 penerima daripada DUN Kemena yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita. -TVS