KUCHING, 21 Jan: Bandar raya ini disenarai sebagai bandar ke-10 terbersih di dunia.
Berdasarkan laporan kualiti udara bandar di seluruh dunia di laman web IQAir hari ini, Kuching berada di kedudukan ke-10 dengan mencatat jumlah 18 mata indeks kualiti udara (AQI) .
Kedudukan itu jauh mengatasi Kuala Lumpur yang berada di tempat ke-81 dunia dengan mencatatkan AQI sebanyak 86 mata.
Sebelum ini Kuching berjaya merangkul beberapa anugerah bandar terbersih antaranya dari Majlis Anugerah Standard Pelancongan ASEAN pada tahun lalu.
Sementara itu, Kobe, Jepun berada di kedudukan pertama dengan mencatatkan AQI sebanyak empat mata diikuti San Francisco, Amerika Syarikat dan Osaka, Jepun.
Singapura pula disenaraikan pada kedudukan ke-34, Jakarta (47) dan Chiang Mai (Thailand) pada tangga ke-57.
Dalam pada itu, Dhaka (Bangladesh) disenaraikan sebagai bandar raya paling kotor di dunia dengan 300 mata diikuti Kolkata dan Delhi di India yang melengkapkan senarai tiga bandar paling tercemar di dunia. -TVS