Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan 28 individu, termasuk warga emas dan orang kurang upaya (oku) buta, dipercayai warga asing yang cuba menyusup masuk ke dalam negara dengna menaiki sebuah bot nelayan, di 10.2 batu nautika utara Tanjung Luk Pisuk, Tuaran, semalam. Foto: APMM Sabah

APMM tahan bot nelayan asing bawa 28 individu cuba menyusup masuk ke perairan negara

ByBernama

KOTA KINABALU, 21 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan 28 individu, termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) buta, dipercayai warga asing yang cuba menyusup masuk ke dalam negara dengan menaiki sebuah bot nelayan, di 10.2 batu nautika utara Tanjung Luk Pisuk, Tuaran, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata individu berumur 14 hingga 70 tahun itu ditahan pada pukul 5.43 petang selepas radar Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA) mengesan bot mencurigakan dari perairan Filipina.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati nama juragan tiada dalam salinan lesen bot selain 12 penumpang mengemukakan dokumen pengenalan diri meragukan, manakala empat penumpang memiliki sijil lahir, serta masing-masing seorang penumpang memiliki kad pengenalan Malaysia dan pas lawatan sosial.

“Baki penumpang lain gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri. Didapati seorang penumpang lelaki berusia 52 tahun buta, dan empat wanita warga emas berusia 55 hingga 66 tahun turut berada dalam bot itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata juragan serta penumpang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata pihaknya menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 41 tahun yang didapati membuang lapan tong dipercayai berisi 200 liter diesel bersubsidi ke laut apabila menyedari kehadiran bot peronda, malam tadi.

Beliau berkata pihaknya mengesan sebuah bot mencurigakan pada 8.30 malam tadi, dan bot itu tiba-tiba memecut laju selepas dua lelaki dilihat sedang membuang tong minyak, kemudian terjun ke laut.

“Pada 9.15 malam seorang lelaki diselamatkan di kedudukan 1.38 batu nautika tenggara Tanah Merah di sini, manakala seorang lagi rakannya yang disyaki terlibat dengan kes itu tidak dapat dikesan,” katanya.

Katanya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit yang sah selain Akta Imigresen 1959/63. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan